Apa yang aku nak tulis ni mungkin mengundang pemahaman berbeza dan pastinya ada yang akan komen hentam aku...pentas terbuka, kalau aku rasa nak publish aku biar, aku malas maka aku delete...hehehe...ini kan blog aku...jangan marah aaa...
Rata-rata aku tengok, orang kita (of course aku refer to Melayu Muslim la) bila mengkategorikan kedai makan halal ialah dua, iaitu kedai makan milik orang Islam dan kedai makan bukan Islam yang ada logo Halal.
Betul ke tafsiran tu?
Kedai makan bukan Islam yang ada logo Halal tu ok la, maknanya kedai tu, walau pemilik dia bukan Islam tetapi untuk mendapat sijil dan logo Halal, terutama keluaran JAKIM dia perlu melepasi segala jenis ujian makmal, kursus, penyediaan bahan mentah dan audit Halal yang dijalankan oleh badan pengeluar sijil dan logo.
Kedai makan Melayu pulak, adakah semuanya Halal?
Ni yang aku nak sembang. Kita pukul rata, selalunya orang kita akan kata "kedai makan melayu bersepah kenapa ko nak cari yang tak confirm halal?"
Maknanya kita hukumkan bahawa semua kedai Melayu halal. Betul ke?
Aku pernah bersembang tajuk ni dengan seorang yang aku kategorikan pakar dalam bidang Halal ni...tak lain tak bukan adik aku sendiri Ammar. Aku tanya dia, adakah semua kedai Melayu halal, dan adakah semua kedai bukan Melayu (yang tak ada logo Halal) tidak Halal?
Jawapan dia ialah, "Konsep Halal ialah from farm to plate".
Kalau kita faham konsep from farm to plate ni, kita boleh rungkaikan masalah ni.
Aku bagi dua contoh. Pertama, kedai Melayu. Masakan pelbagai, lauk pauk, masakan goreng dan lain-lain. Dia ada mee goreng. Mee nya siapa yang buat? Tauhu nya siapa yang buat? Fishball nya siapa yang buat?
Pengalaman aku kat bandar kecik di nun Utara Semenanjung dulu, ramai pengusaha kedai makan Melayu beli bahan-bahan mentah yang aku contohkan tu dari pembekal Cina di pasar. Pastikah kita tahap halal bahan mentah tu? Jadi bolehkah kita hukumkan bahawa Mee Goreng Basah kedai Melayu tu Halal? Konsep from farm to plate tadi direalisasikan tak? Tak cukup sekadar tukang masak nya Melayu tetapi bahan mentah dari bukan Islam jugak, kan.
Contoh kedua, kedai makan Cina Hailam. Aku bagi contoh ni pasal aku masa dok Kangar suka makan nasi campur kat satu kopitiam Cina ni. Lauk pauk dia pelbagai, dan hampir kesemua lauk pauk dia adalah berasaskan makanan laut dan sayuran. Ada ayam pun memang aku tahu dia beli dari pembekal Muslim. Ada sekali aku tengah cedok lauk, datang seorang Hamba Allah kat aku, dia tegur "Makan apa ni, Cina masak tau..!!" Nada dia marah. Aku nak makan, jadi aku malas jawab dan aku hanya kata, "Ya ka.."..dan tangan terus ceduk Tauhu Telur masak dengan Isi Ketam. Sedap kan...
Soalan aku, tukang masaknya memang Cina bukan Muslim, adakah masakannya tidak halal?
Yang dimasaknya ialah bahan-bahan yang 100% halal, sayuran, ikan, udang, sotong, siput dan jenis-jenis berasaskan ikan. Adakah kerana tukang masaknya bukan Islam maka kita hukumkan tidak halal? Rasulullah SAW sendiri pernah makan masakan wanita Yahudi, yang mana wanita tersebut meletakkan racun di dalam peha kambing yang dimasaknya. Buktinya ketika Rasulullah SAW hampir wafat, Baginda menyebut kepada Abu Bakar As-Siddiq bahawa kesan racun yang dimakan yang dimasak oleh wanita Yahudi tu kini terasa di dalam badan Baginda. Jadi dari kisah ini kita simpulkan bukan tukang masak tu yang berperanan menetukan halal atau tidak sesuatu makanan tu kan, tetapi bahannya.
Memang kopitiam Hailam tidak ada logo halal. Kenapa, sebab mereka tak rasa keperluan memohon sijil dan logo tu. Pada mereka bisnes tradisi warisan ibu bapa mereka diteruskan dalam keadaan terurus macam dulu juga. Lupa nak bagitau, dapur kedai Cina yang aku makan tu jauh lebih bersih dari dapur beberapa kedai makan Melayu yang pernah aku jengah. Bersih yang amat.
Kenapa kita bising apabila kedai macam ni tak ada logo halal, sedangkan kita diam apabila kedai makan Melayu tak ada logo Halal? Walhal kalau pihak JAKIM datang buat segala ujian dan audit halal, belum tentu kedai makan Melayu tadi lulus dan dapat sijil. Tapi tak pernah kan kita dengar "Restoran Ahmad Shah Gagal Sijil Halal"...belum pernah dengar, sebab diorang belum pernah memohon. Yang memohon adalah yang bukan Islam saja.
Tapi jangan la pulak kedai makan bukan Muslim yang terang-terang dalam menu dia ada Daging Babi Salai Masak Lada Hitam pun kita pergi. Itu dah memang nyata tidak halal. Yang aku maksudkan ni ialah kedai makan bukan Islam yang kita pasti dan yakin bahan mentah yang digunakan ialah halal dan dia tidak masak bahan yang tidak halal.
Satu lagi bab logo Halal ni, kena la tengok yang JAKIM atau Jabatan Agama Islam Negeri keluarkan. Jangan yang tulis "Ditanggung Halal" pun kita dah kira halal, sebab itu hanya halal ditanggung atau dipikul (tanggung dalam bahasa Utara bermaksud pikul)..tetapi makannya belum tentu halal...hehe...
Balik kepada apa yang aku nak sampaikan...jangan kita terlalu bersikap skeptism dalam mengatakan bahawa semua kedai Melayu adalah Halal dan semua kedai bukan Islam adalah tidak Halal. Aku yakin, kalau hari ni JAKIM buat ujian dan audit halal kepada semua restoran, warung, kedai makan atau rumah makan milik Melayu, lebih separuh akan gagal sebab bahan mentah yang dibekalkan oleh pembekal belum tentu halal. Jangan lupa, "from farm to plate".
Oh ya, dan orang kita jugak bila nak beli perfume akan cari perfume yang 'boleh buat sembahyang'. Sebab tu banyak saudagar minyak wangi muncul sekarang ni pasal 'kesedaran' menggunakan minyak wangi yang boleh pakai sembahyang makin tinggi. Aku pernah tanya, kalau kita nak guna waktu bukan sembahyang boleh la pakai yang ada alkohol?Dia jawab boleh, tapi nak sembahyang tak boleh. Then aku tanya, apa beza kehidupan seorang Muslim semasa sembahyang dan di luar sembahyang, dia diam tak jawab. Kalau korang tengok, Pak Arab pakai Dunhill Desire tau spray masa nak turun kereta masuk masjid. Sebab apa, sebab yang haram ialah Arak (alkohol yang memabukkan) dan bukannya minyak wangi beralkohol. Kalau haram maknanya tak leh la pakai waktu sembahyang atau tak sembahyang dik ooii...sebab tu kena faham konsep Istihala. Aku malas nak tulis panjang, kalau nak tahu apa itu Istihala pergi baca kat SINI.
Aku rasa ramai di luar sana yang sependapat dengan aku tapi tak pernah suarakan. Ingat, bukan tukang masak yang menentukan halal atau tidaknya apa yang kita makan, tetapi sumber bahan mentahnya yang menentukan. Kalau dia goreng mee yang ada lemak babi sambil pakai kopiah sekalipun, tetap ianya tidak halal, tetapi kalau dia masak Ikan Keli Salai Masak Lemak Cili Api sambil berseluar pendek dan t-shirt pagoda dan dibelakangnya ada Tok Pek Kong, makanan tu tetap halal kerana sumbernya adalah halal.
Kalau pakai konsep orang kita, semua kedai Melayu adalah halal, tak mustahil nanti akan ada orang kata.."Katak goreng kedai Mamat tu sedap..aku sanggup makan pasal yang gorengnya baru balik Mekah..!!". Apa nak dikata...