Thursday, September 25, 2014

Khilaf Tarikh Aidil Adha; Sejauh Mana Kekusutannya dan Sampai Bila?

Tulisan ini telah diedit untuk menepati tarikh terkini. Tulisan yang asal telah disiarkan pada 12 November 2010. 
------------------------------------------------------------------------------

Kita di Malaysia akan menyambut Aidil Adha pada tarikh 5 Oktober 2014, hari Ahad.

Arab Saudi pula mengisytiharkan tarikh 9 DzulHijjah, iaitu tarikh hari ibadat wukuf pada hari Jumaat, 3 Oktober 2014.

Andai mengikut tarikh yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, maka Aidil Adha ialah pada hari Sabtu, 4 Oktober 2014. Itu lah yang akan dilaksanakan oleh umat Islam di Arab Saudi, termasuklah jemaah haji dari Malaysia yang sedang berada di sana, Thailand dan beberapa negara Islam lain.

Persoalannya, kenapa Malaysia berbeza dengan Arab Saudi?

Untuk menetapkan tarikh hari ibadat Wukuf, iaitu 9 DzulHijjah, Kerajaan Arab Saudi akan mencerap anak bulan pada pemulaan bulan DzulHijjah. Penetapan tarikh dibuat betul-betul menggunakan kaedah Rukyah, iaitu melihat anak bulan. Arab Saudi tidak menetapkan berdasarkan Hisab. Hisab ialah perkiraan yang dilakukan oleh Ahli Falak atau Ahli Astronomi berdasarkan pergerakan bulan, bintang dan lain-lain. Untuk menetapkan ibadah puasa di bulan Ramadhan, Syawal dan DzulHijjah, Arab Saudi menggunakan rukyah, manakala Hisab digunakan untuk menetapkan perkiraan bulan-bulan lain kerana Arab Saudi menggunakan sepenuhnya Taqwim Hijri di dalam urusan rasmi mereka.

Aku pernah melalui satu tahun di mana taqwim untuk tahun tersebut terpaksa diubah kerana penetapan Dzulhijjah yang berbeza dengan apa yang telah tertulis di dalam Taqwim. Tahun itu, sepatutnya DzulQaedah adalah 30 hari berdasarkan Hisab dan itu yang tertulis di dalam kalendar Hijri tahun tersebut, tetapi oleh kerana anak bulan telah kelihatan, maka rukyah di utamakan dan kalendar tersebut diubah menjadikan DzulQaedah hanya 29 hari.

Kenapa Arab Saudi mencerap anak bulan DzulHijjah?

Kerana Arab Saudi ialah pemerintah yang bertanggungjawab menjaga Dua Tanah Suci Mekkah dan Madinah. Setiap tahun, umat Islam dari seluruh dunia akan berhimpun pada tarikh 9 DzulHijjah bagi mengerjakan rukun Haji, berdasarkan Hadis Rasulullah SAW :

"الْحَجُّ عَرَفَةُ"

Yang bermaksud : Haji itu ialah (wukuf di) Arafah

Maka sebagai melaksanakan tanggungjawab mereka, pemerintah Arab Saudi melaksanakan rukyah bagi menentukan permulaan Dzulhijjah untuk mendapatkan perkiraan yang tepat bagi ibadah sebesar Haji ini.

Semua mengetahui Aidil Adha di sambut pada 10 DzulHijjah, sehari selepas wukuf di Arafah.

Atas dasar inilah, Aidil Adha adalah tertakluk kepada Hari Wukuf di Arafah, kerana 10 mesti datang selepas 9. Tarikh 9 DzulHijjah ditetapkan bertujuan penyempurnaan ibadah Wukuf yang berlangsung di Arafah yang terletak di Arab Saudi, bukannya di tempat lain.

Maka menjadi satu kemusykilan kenapa kita perlu mencerap anak bulan Dzulhijjah di Malaysia. Alangkan penetapan tarikh Ramadhan dan Syawal untuk kita di Malaysia ni adalah berpaksikan Hisab (dan Rukyah). Kita meletakkan Hisab terlebih dahulu dan rukyah kita hanyalah sebuah syarat untuk Ramadhan dan Syawal. Kenapa untuk DzulHijjah kita perlu melakukan perkara yang sama?

Kita tidak bertanggungjawab menetapkan tarikh Aidil Adha, kerana ianya akan tetap berlaku pada tanggal 10 DzulHijjah. Dari mana datangnya 10 DzulHijjah, dari 9 DzulHijjah, Hari Wukuf di Arafah. Maka kita sewajarnya menuruti tarikh yang diletakkan oleh pemerintah Arab Saudi yang berdasarkan rukyah tersebut kerana mereka mencerap untuk Ibadah Wukuf, bukannya untuk Aidil Adha.

Besar sangat kah masalah khilaf tarikh ini?

Aku unjurkan masalah yang berhubungkait dengan kekhilafan tarikh antara Malaysia dan Arab Saudi ini.

1. Bila kita nak tunaikan puasa sunat 9 DzulHijjah? Adakah Jumaat (mengikut taqwim Arab Saudi) atau Sabtu (Mengikut Taqwim Malaysia)

2. Bila kita nak Solat Aidil Adha (tak perlu hujahkan ianya hanya solat sunat, tak perlu bising-bising kerana itu hujah yang tidak berhujah sebenarnya)Sabtu (mengikut Arab Saudi) atau Ahad (mengikut Malaysia)?

3. Sembelihan Qurban pada hari Rabu. Mengikut Taqwim Malaysia, Rabu 8 Oktober 2014 ialah bersamaan 13 DzulHijjah, hari terakhir dari Hari-Hari Tasyriq yang dibolehkan kita melakukan sembelihan Qurban sehingga waktu Asarnya...tetapi kalau mengikut taqwim Arab Saudi, Rabu itu dah 14 DzulHijjah, bukan lagi hari Tasyriq. Jadi masihkan sembelihan itu dikira Qurban atau jadi sedekah umum sahaja?

Ini adalah di antara sedikit persoalan yang timbul akibat kekhilafan tarikh Aidil Adha antara Malaysia dan Arab Saudi.

Masalah ini bukan baru timbul setahun dua, tetapi dah lama. Sejak aku kecik dah dok dengar selalu berlaku. Takkan tak ada satu pihak berwajib, khususnya yang berkaitan agama boleh duduk berbincang hal ini. Bukan memerlukan masa yang panjang pun, tapi akan pastinya memberi kesan untuk jangka masa yang amat panjang. Wallahua'alam...Apa nak dikata...

1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum. Umat Islam di Malaysia di dalam keadaan gelap mengenai Hari Wukuf setiap tahun, yang mana kita disunatkan berpuasa yang mana pahalanya amat tinggi & tiada nilainya. Amat pelik & janggal pihak2 berwajip tidak membantu umat Islam Malaysia dalam melaraskan tarikh-tarikh penting dalam kalender Islam. Amatlah penting untuk Umat Islam di Malaysia mengetahui Hari Wukuf dan hari-2 Tashriq. Semuga Allah taala memberi panduan hidayah & taufiq kps pihak berwajip.

Diriwayatkan sepotong hadith daripada Abi Qatadah (r.a), katanya: ‘Sesungguhnya Nabi (s.a.w) telah bersabda: ‘Puasalah pada Hari Arafah, sesungguhnya mencari pahala aku pada Allah (a.w) agar menghapus dosa (oleh Allah (a.w)) (dosa-dosaku) setahun yang sebelum Hari Arafah dan setahun sesudah Hari Arafah.’ [Hadith sahih riwayat at-Termidzi]